Monday, October 5, 2015

JEREBU DAN TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA

Keadaan cuaca yang berjerebu teruk yang melanda negara kita sejak awal bulan lalu telah membuka mata ramai pihak untuk membincangkan punca,kesan mahupun jalan penyelesaian terhadap perkara ini. Bagi golongan generasi ketiga, pencemaran alam sekitar adalah salah satu dari isu pencabulan hak asasi manusia yang perlu ditangani dan dipandang serius.


Apabila manusia mula berasa terganggu dengan keadaan sekeliling dan persekitaran khususnya yang berkait dengan alam sekitar, hak asasi yakni asas kepada kehidupan manusia akan menjadi satu perkara yang mula dibangkitkan lebih-lebih lagi akibat terhalang dari menghirup udara segar dan bersih. 

Keadaan Jerebu yang melanda dikatakan berpunca dari pembakaran hutan dan sisa pertanian di Indonesia sehingga menyebabkan kepulan asap kotor ini melitupi ruang angkasa Indonesia, Malaysia dan Singapura. Bencana ini turut menjejaskan pelbagai aktiviti seharaian manusia termasuk aktiviti perkapalan di Selat Melaka dan yang paling bahaya melibatkan ruang udara khususnya Kapal Terbang.

Seorang Profesor dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM menjelaskan beberapa faktor kemungkinan amalan pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia mula berleluasa akibat daripada pelaksanaan undang-undang yang lemah dan amalan korupsi yang berleluasa. Dalam erti kata lain, pihak berkuasa memejam mata di atas sebarang salah laku oleh petani di atas faktor kasihan dan telah menerima "habuan". Jika benar, ia memang satu lagi bencana ke atas hak asasi manusia kerana bebas dari rasuah juga merupakan hak asasi manusia! 



Indonesia telah menandatangani perjanjian ASEAN Transboundary Haze Pollution pada 16 September 2014 dan merupakan negara terakhir melakukannya. Namun pada hari ini masalah yang sama tetap berulang.

Perjanjian jerebu ini mulai dilaksanakan pada Jun 2002, dan masih masalah yang sama berterusan. Ia menuntut supaya pihak yang terlibat segera mengekang dan mengawal aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran jerebu melampaui negara, di mana kempen dan pendidikan mengenai undang-negara alam sekitar dan asasi manusia digiatkan.

Perjanjian juga menuntut supaya wujudnya pasukan khas memantau keadaan pembakaran hutan selain berkongsi kemahiran saintifik dan teknikal untuk menyelesaikan masalah ini. Namun demikian, ternyata hari ini perjanjian tersebut masih tidak berjaya menyelesaikan masalah Jerebu di ASEAN.


Kesimpulannya, apa juga kempen, MOU dan perjanjian tidak akan berkesan jika tiada kesedaran datang daripada nurani dan lahir dari diri setiap kita, manusia yang mendiami bumi ini secara bersama. Keadaan jerebu yang semakin teruk memerlukan kesepakatan negara-negara dunia untuk bersatu memikirkan jalan dan cara terbaik untuk mengelakkan tragedi alam ini berulang. 

Petani dan pekebun kecil di Riau, Kalimantan dan Sumatera mesti diyakini dan difahamkan yang kanak-kanak kecil di Malaysia dan Singapura mempunyai hak setara, meredakan dan bermaruah untuk menghirup udara yang bersih, segar dan bebas pencemaran. 

Sumber : MalaysiaKini