Monday, October 5, 2015

JEREBU DAN TUNTUTAN HAK ASASI MANUSIA

Keadaan cuaca yang berjerebu teruk yang melanda negara kita sejak awal bulan lalu telah membuka mata ramai pihak untuk membincangkan punca,kesan mahupun jalan penyelesaian terhadap perkara ini. Bagi golongan generasi ketiga, pencemaran alam sekitar adalah salah satu dari isu pencabulan hak asasi manusia yang perlu ditangani dan dipandang serius.


Apabila manusia mula berasa terganggu dengan keadaan sekeliling dan persekitaran khususnya yang berkait dengan alam sekitar, hak asasi yakni asas kepada kehidupan manusia akan menjadi satu perkara yang mula dibangkitkan lebih-lebih lagi akibat terhalang dari menghirup udara segar dan bersih. 

Keadaan Jerebu yang melanda dikatakan berpunca dari pembakaran hutan dan sisa pertanian di Indonesia sehingga menyebabkan kepulan asap kotor ini melitupi ruang angkasa Indonesia, Malaysia dan Singapura. Bencana ini turut menjejaskan pelbagai aktiviti seharaian manusia termasuk aktiviti perkapalan di Selat Melaka dan yang paling bahaya melibatkan ruang udara khususnya Kapal Terbang.

Seorang Profesor dari Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM menjelaskan beberapa faktor kemungkinan amalan pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia mula berleluasa akibat daripada pelaksanaan undang-undang yang lemah dan amalan korupsi yang berleluasa. Dalam erti kata lain, pihak berkuasa memejam mata di atas sebarang salah laku oleh petani di atas faktor kasihan dan telah menerima "habuan". Jika benar, ia memang satu lagi bencana ke atas hak asasi manusia kerana bebas dari rasuah juga merupakan hak asasi manusia! 



Indonesia telah menandatangani perjanjian ASEAN Transboundary Haze Pollution pada 16 September 2014 dan merupakan negara terakhir melakukannya. Namun pada hari ini masalah yang sama tetap berulang.

Perjanjian jerebu ini mulai dilaksanakan pada Jun 2002, dan masih masalah yang sama berterusan. Ia menuntut supaya pihak yang terlibat segera mengekang dan mengawal aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran jerebu melampaui negara, di mana kempen dan pendidikan mengenai undang-negara alam sekitar dan asasi manusia digiatkan.

Perjanjian juga menuntut supaya wujudnya pasukan khas memantau keadaan pembakaran hutan selain berkongsi kemahiran saintifik dan teknikal untuk menyelesaikan masalah ini. Namun demikian, ternyata hari ini perjanjian tersebut masih tidak berjaya menyelesaikan masalah Jerebu di ASEAN.


Kesimpulannya, apa juga kempen, MOU dan perjanjian tidak akan berkesan jika tiada kesedaran datang daripada nurani dan lahir dari diri setiap kita, manusia yang mendiami bumi ini secara bersama. Keadaan jerebu yang semakin teruk memerlukan kesepakatan negara-negara dunia untuk bersatu memikirkan jalan dan cara terbaik untuk mengelakkan tragedi alam ini berulang. 

Petani dan pekebun kecil di Riau, Kalimantan dan Sumatera mesti diyakini dan difahamkan yang kanak-kanak kecil di Malaysia dan Singapura mempunyai hak setara, meredakan dan bermaruah untuk menghirup udara yang bersih, segar dan bebas pencemaran. 

Sumber : MalaysiaKini

6 comments:

  1. Betul. Isu jerebu ini seolah-olah perkara rutin yang muncul tiap-tiap tahun tanpa dapat dikawal mahu pun dikurangkan. Ia memberi petunjuk kepada kita dimana fenomena alam hasil buatan tangan manusia ini semakin tidak dipedulikan lagi.

    ReplyDelete
  2. Mungkin asean perlu lebih berani dalam menangani masalah ini. Malah bukan sahaja undang-undang dikuatkuasakan atas satu negara, tetapi undang undang pelaburan juga harus dikuatkan.

    ReplyDelete
  3. Anggota‎ Asean haruslah memberi perhatian serius terhadap masalah jerebu yang sudah berlarutan bertahun-tahun di rantau ini. Masalah ini memang perlu dikawal dan diselesaikan dengan cepat dan baik oleh pelbagai pihak

    ReplyDelete
  4. Pemimpin negara ASEAN haruslah memberi perhatian terhadap masalah jerebu ini dan mengambil langkah yang sewajarnya dengan secepat mungkin. Masalah ini wujud setiap tahun dan kesihatan masyarakat turut terancam. Adalah diharapkan bahawa langkah penyelesaian dilaksanakan dengan secepat mungkin demi kesihatan semua.

    ReplyDelete
  5. Masalah jerebu tersebut telah membimbangkan rakyat Malaysia. Walaupun Indonesia telah berjanji bahawa tidak akan melakukannya lagi , tetapi masalah ini masih berlaku dan juga semakin serius berbanding tahun lepas. Masalah jerebu telah menggangu pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya masalah perhentian sekolah sepanjang seminggu sebab jerebu.Suasana mendung telah menyusahkan pengguna jalan raya dan juga mengakibatkan pelbagai penyakit respitasi. Harapkan pihak-pihak yang terlibat boleh selesaikan masalah ini secepat mungkin. Pulangkan kita udara yang bersih!

    ReplyDelete
  6. Kesedaran terhadap akibat jerebu haruslah dapat dari naluri kita ,setiap manusia yang mendiami di bumi ini supaya kita dapat bersama-sama menjaga,memelihara,memulihara bumi yang semakin "rosak" ini.Jika kita tidak berbuat demikian, mungkin suatu hari bumi ini akan dihapuskan. Di manakah kita boleh tinggal??Siapakah yang bertanggungjawabkan menghalang perkara ini berlaku??Jawapannya mestilah kita!!!

    ReplyDelete